Hero serta heroin ‘Kau, Aku, Kita’, Syarul Ridzwan dan Janna Nick, diangkat sebagai duta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) bagi edisi ketiga penganjurannya. Bertemakan ‘Dunia Drama Sebenar’, pelantikan kedua-dua selebriti ini sebagai duta DFKL 2016 dibuat atas dasar populariti yang dikecapi mereka sekarang.
“Kali pertama ditawarkan pihak penganjur, saya tertanya, layakkah saya nak jadi duta DFKL sebab saya rasa saya masih baru dan ramai lagi yang lebih layak daripada saya. Namun, pada masa sama, saya rasa ini satu penghargaan besar buat saya dan apa salahnya saya cuba kerana ini satu pengalaman yang sangat berharga.
Janna Nick akui tertanya jika layak menjadi duta DFKL 2016
“Tidak dinafikan tanggungjawab membawa nama sebagai duta ini sangat berat. Saya takut orang akan mengata serta mempertikaikan kenapa saya yang dipilih dan bukannya orang lain. Namun, saya yakin yang saya boleh bawa nama DFKL,” tutur Janna ketika ditemui sewaktu siri jelajah DFKL 2016 di UiTM Shah Alam pada Rabu lalu.
Sementara itu, pelakon Syarul Ridzwan turut berbesar hati apabila dipilih sebagai duta DFKL 2016. Menurut pelakon drama ‘Hati Perempuan’ ini, penganjuran DFKL adalah satu platform yang sangat bagus kerana ia membantu orang ramai di luar sana mengetahui serta mempelajari selok belok dunia lakonan.
Syarul Ridzwan berasa berbesar hati atas pelantikannya
“Saya rasa teruja serta berbesar hati, dan pelantikan sebagai duta DFKL 2016 merupakan satu tanggungjawab yang besar buat saya. Selalu orang cakap jadi duta sangat mudah, datang tunjuk muka sahaja. Tapi saya akan berkongsi pengalaman saya kepada semua, bukan sahaja untuk memberi ilmu kepada mereka malah juga memberi motivasi kepada diri saya sendiri,” ujar Syarul kepada Tonton Extra.
“DFKL merupakan satu platform di mana orang yang sangat-sangat hebat berkumpul untuk memberi ilmu seperti pengarahan dan lakonan. Peluang yang diberi ini akan dijadikan tempat untuk saya belajar serta memperbaiki apa kelemahan saya dari segi lakonan. Menerusi penganjuran sebelum ini, saya juga pernah join abang Heykal Hanifah untuk sesi uji bakat lakonan. Walaupun saya dah bergelar pelakon, tapi bila melihat peserta yang hadir, ada pergerakan yang boleh saya apply dalam lakonan saya,” katanya.
Peluang ini digunakan Syarul Ridzwan untuk memperbaiki kelemahannya
Sebagai duta, Syarul dan Janna bertanggungjawab mempromosikan DFKL 2016 melalui laman sosial, turut serta di sesi jelajah, bengkel dan juga malam kemuncak Anugerah DFKL 2016. DFKL 2016 yang merupakan anjuran TV3 dan TV9 memberi peluang kepada orang ramai untuk mengasah bakat mereka sekaligus berpeluang menimba ilmu bersama para panel berpengalaman dalam industri seni tanah air.
Masih menjurus kepada empat komponen utama, DFKL mengekalkan penyertaan pertandingan drama pendek, pitching, uji bakat lakonan serta bengkel. Antara bengkel yang ditawarkan ialah bengkel lakonan, pengarahan, animasi, solekan kesan khas serta penampilan diri. Mereka yang bertanggungjawab berkongsi ilmu kepakaran masing-masing dalam bengkel drama yang akan diadakan pada 17 dan 18 Mac 2016 ialah Datuk Rosyam Nor, Ahmad Idham, Ellie Suriaty, Datin Umie Aida, Azman Haji Yahaya (Jinggo), Faizu Les Copaque, Awal Ashaari, Datin Sharifah Shawati, Usamah Zaid dan J.Lo Zali.
Nantikan kemunculan Syarul Ridzwan & Janna Nick pada siri jelajah DFKL seterusnya
Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal untuk menyertai bengkel DFKL 2016 pada siri jelajah yang akan diadakan di Kuala Lumpur (16 Januari), Johor Bahru (20 Januari), UiTM Lendu Melaka (27 Januari), Kedah (6 Februari) dan UPM Serdang (10 Februari). Untuk maklumat lanjut mengenai DFKL 2016 boleh layari laman web rasmi www.dfkl.com.my.